Home Nasional Lancar portal SEBENARNYA.MY bendung berita palsu

Lancar portal SEBENARNYA.MY bendung berita palsu

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak (tengah) diberi penerangan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Pengurusan Rangkaian Media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, Saiful Azhar (kiri) mengenai portal Sebenarnya.my di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Cyberjaya. foto FAREEZ FADZIL, 14 MAC 2017

CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melancarkan portal SEBENARNYA.MY

Portal itu merupakan inisiatif baharu bagi membendung penularan berita palsu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, sehingga kini lebih 1,000 berita palsu berkepentingan awam dikenal pasti SKMM dalam media sosial.

Menurut beliau, maklumat berkaitan dikumpul, dianalisa, ditentusah, dimuat dalam portal SEBENARNYA.MY untuk rujukan rakyat.

“Rata-rata pengguna Internet di Malaysia memperuntukkan kira-kira 3 jam dalam seharian mereka melayari internet.

“Kita mahu mendidik rakyat dan jangan bulat-bulat terima tanpa melihat kesahihan sesuatu berita,” katanya semasa melancarkan portal itu di SKMM di sini.

Jelasnya, usaha membendung penularan berita palsu adalah tanggungjawab bersama kerajaan dan pengamal media berkredibiliti serta rakyat.

Program dan kempen seperti “Klik dengan bijak”, Semak sebelum Sebar” dilihat penting memastikan penularan berita palsu dibendung secara efisien.

Namun, ini tidak bererti hak menyuarakan pendapat dihalang.

Salleh berkata, laporan surat layang digantikan dengan berita palsu dalam media sosial ekoran perkembangan teknologi maklumat.

Justeru, beliau turut menjelaskan pembukaan portal berkenaan bukan bertujuan untuk Pilihan Raya Umum-14 akan datang.

“Ini (Sebenarnya.my) bukan kerana pilihan raya.. tidak sama sekali, ini portal untuk rakyat.

“Ia membawa mesej utama iaitu ‘Tidak Pasti, Jangan Kongsi”,ujarnya lagi.

Menurut Salleh Said Keruak, SEBENAR.MY bukan sekadar berita politik tetap semua jenis maklumat boleh disemak dan dikongsi untuk berita yang tidak ditentusahkan yang mereka terima menerusi media sosial, blog dan lain lain.

“Kementerian akan mempromosikan portal ini ke seluruh negara supaya rakyat dalam mengakses teknologi ini untuk manfaat mereka,” tegasnya.- MalaysiaGazette