Home Politik Azeez jemput pembangkang sertai misi kedua ke Myanmar

Azeez jemput pembangkang sertai misi kedua ke Myanmar

Abdul Azeez
Abdul Azeez

KUALA LUMPUR – Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) bercadang menjemput pemimpin DAP, PKR dan Pas untuk misi kemanusiaan ke Myanmar yang dijadualkan Mei ini.

Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau mahu pembangkang melihat dan merasakan sendiri pengalaman termasuk kesulitan yang dihadapinya bersama kumpulan pertama bantuan misi Food Flotilla for Myanmar, baru-baru ini.

Katanya, dalam misi kedua itu, selain bekalan makanan, pihaknya akan membawa bersama telaga tiub dan tandas bergerak untuk kegunaan etnik Rohingya di penempatan Teknaf dan Rakhine.

“Harapan saya bagi misi kali ini nak jemput lebih ramai rakan dari DAP, PKR dan Pas untuk kita sama-sama turun membantu mereka dalam konteks misi kemanusiaan,” katanya di sini, semalam.

Abdul Azeez yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, pihaknya memerlukan kira-kira 1,000 telaga tiub dan 10,000 tandas bergerak untuk kegunaan penduduk di dua penempatan itu di Myanmar.

Beliau bagaimanapun, memberitahu, misi kedua ini bukan lagi melalui kapal laut, sebaliknya akan menggunakan jalan darat kerana perjalanannya lebih singkat.

“Kita harap Kementerian Luar Negeri boleh minta kebenaran khas untuk kami. Kali ini kami tidak hendak naik flotila. Kita hendak bawa bekalan secara yang betul. Flotila adalah nama besar yang menggerunkan kami.

“Kita hendak bawa telaga tiub dan tandas bergerak serta lebih banyak bekalan makanan ke kawasan Rakhine iaitu di Maungdaw dan Sittwe. Kita hendak mulakan pada Ramadan ini,” katanya. – MalaysiaGazette