Home Nasional Kita tunggu kata putus KDN, Kementerian Luar urus Jong-nam – Subramaniam

Kita tunggu kata putus KDN, Kementerian Luar urus Jong-nam – Subramaniam

S. Subramaniam
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan menunggu isyarat daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Luar bagi menentukan langkah seterusnya pengurusan mayat Kim Jong-nam.

Bagaimanapun, keputusan rasmi akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

“Kami belum ada apa-apa maklumat berkenaan kehendak waris sama ada nak mengebumikan Jong-nam di sini atau serahkan kepada kerajaan.

“Kalau secara rasmi KDN memberitahu kita bahawa ini ialah mesej daripada saudara mara atau keluarga si mati (Jong-nam) dan kedua-dua kementerian berpuas hati bahawa ia mesej sebenar daripada waris, maka kita boleh ambil tindakan lanjut,” katanya selepas majlis perasmian Forum Penjagaan Kesihatan 2017.

Beliau menyatakan demikian ketika ditanya kemungkinan mayat abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un itu dikebumikan di negara ini.

Mengulas lanjut, Subramaniam berkata, pihaknya melaksanakan Prosedur Operasi Standard untuk menguruskan mayat mengikut budaya dan agama si mati jika mangsa adalah warga Malaysia.

“Tetapi dalam hal Kim Jong-nam ia berbeza sedikit.

“Kita kena ambil maklumat penuh dari waris dan kehendak mereka dalam menguruskan mayat si mati dan kemudian kita boleh bertindak mengikut respon mereka,” katanya. – MalaysiaGazette