Home Nasional Sampel DNA anak lelaki Jong-nam diambil di lokasi rahsia – Zahid

Sampel DNA anak lelaki Jong-nam diambil di lokasi rahsia – Zahid

Kim Jong-nam

KUALA LUMPUR – Pengesahan identiti Kim Jong-nam dibuat menerusi sampel DNA anak lelakinya yang diambil di satu lokasi rahsia, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata sampel itu diperoleh mengikut prosedur forensik yang dilakukan oleh pihak kerajaan di luar negara, namun enggan mendedahkan lokasi negara itu.

“Saya sekali lagi ingin mengesahkan mayat tersebut adalah mayat Jong-nam, DNA telah dibawa ke Malaysia dan dibuat perbandingan…memang sah Jong-nam,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, didakwa dibunuh oleh dua wanita warga asing yang menyapu muka Jong-nam dengan agen saraf VX ketika dia berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 13 Feb untuk menaiki pesawat ke Macau.

Jong-nam, yang memiliki pasport tertera nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya.

— BERNAMA