KUALA LUMPUR – Saya mahu berdebat dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad mewakili pengundi di Parlimen Padang Rengas, kata Datuk Seri Nazri Aziz.
Menurutnya, tindakan itu diambil atas kapasiti pengundi Padang Rengas yang mahu maklumat sebenar mengenai dakwaan Mahathir terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Saya pun keliru ada orang pihak kerajaan dan parti saya mengatakan saya tidak mewakili BN (Barisan Nasional) atau kerajaan tapi pihak pembangkang kata saya mewakili kerajaan.
“Tapi senang saja, saya mewakili pengundi Padang Rengas kerana saya Ahli Parlimen Padang Rengas.
“Saya tidak mewakili UMNO tidak mewakili BN saya tidak mewakili kerajaan. Kalau semua pun telah menyatakan bahawa saya tidak mewakili mereka, saya tidak susah untuk menyatakan saya cuma mewakili pengundi Padang Rengas yang itu lebih penting bagi saya,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen.
Sebelum ini, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menyifatkan debat ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu dengan Mahathir tidak dibincangkan di peringkat parti sebaliknya ia merupakan pendirian peribadi Nazri sendiri.
Nazri pada Selasa mengesahkan beliau akan berdebat dengan Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Padang Rengas.
Debat itu dijangka diadakan pada 25 Mac di Maktab Rendah Sains Mara Kuala Kangsar pada pukul 3 petang.
Isu yang menjadi topik perdebatan itu adalah mengenai 1MDB serta dana RM2.6 bilion mengaitkan Perdana Menteri selain berbalas hujah mengenai isu Bumiputra Malaysia Finance yang mengaitkan Mahathir.
Isu debat muncul selepas Nazri, yang juga Menteri Kebudayaan dan Pelancongan membidas kehadiran Dr Mahathir di Parlimen Padang Rengas bagi siri jelajah partinya. -MalaysiaGazette.