Home Nasional Seorang lagi pegawai Imigresen Sarawak ditahan kerana rasuah

Seorang lagi pegawai Imigresen Sarawak ditahan kerana rasuah

KUALA LUMPUR – Seorang lagi pegawai Imigresen Sarawak ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki menerima rasuah melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri itu.

Laman portal New Straits Times melaporkan, pegawai berusia 40-an itu merupakan individu ke-11 yang ditahan oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Individu terbabit dilaporkan ditahan oleh SPRM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, kira-kira jam 10 malam, semalam.

Menurut sumber, pegawai itu didakwa menerima rasuah lebih daripada RM5,000 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan ke atas warga asing yang tinggal dan bekerja di negeri itu tanpa dokumen sah.

Semalam, seramai 10 pegawai dan anggota imigresen negeri itu ditahan di Ibu Pejabat Imigresen Sarawak, Pejabat Jabatan di Pending dan Jabatan Tahanan Depot di Semuja dan Serian.

SPRM turut merampas RM10,000 daripada salah seorang pegawai terbabit.

11 pegawai yang berusia antara 33 dan 53 tahun itu akan dibawa ke Mahkamah Khas Kuching untuk direman pagi ini. – MalaysiaGazette