Home Politik Ezam, Khairuddin daftar ‘Parti Lawan Rasuah’ minggu depan

Ezam, Khairuddin daftar ‘Parti Lawan Rasuah’ minggu depan

Khairuddin Abu Hassan. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 5 JUN 2015.

‘Orang kuat’ Tun Mahathir Mohamad , Datuk Khairuddin Abu Hassan bersama bekas senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor yang keluar dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) sebelum ini, akan mendaftarkan parti baru mereka pada minggu hadapan.

Perkara itu disahkan oleh Khairuddin yang juga bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, ketika dihubungi Malaysia Gazette hari ini.

Tambah Khairuddin, pihaknya akan ke pejabat Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) bagi tujuan pendaftaran pada minggu hadapan. 

Sehubungan itu, pihaknya masih dalam proses penilaian dan kajian berkenaan dengan nama, logo dan akronim yang akan digunakan untuk parti tersebut.

Bagaimanapun, beliau tidak menolak untuk menggunakan ‘Parti Lawan Rasuah’ sebagai nama rasmi parti atau nama yang lain yang lebih mesra dengan penentangan terhadap gejala rasuah.

“Dalam minggu depan. Kita sedang membuat penilaian, kajian konsiderasi berkenaan nama dan sebagainya,” katanya ketika ditanya berkenaan nama parti.

Menurut Khairuddin, penubuhan parti tersebut berikutan kegagalan parti-parti sedia ada yang memberi fokus utama kepada agenda memerangi gejala rasuah secara total. 

Justeru, tambah beliau, mereka terpaksa menubuhkan parti yang mempunyai objektif tunggal tersebut, iaitu mahu membanteras gejala rasuah di semua peringkat.

“Semua sedia maklum, Dato Ezam Md Noor mahu menubuhkan parti baru. Ini kali pertama diwujudkan dalam negara sebuah parti yang membawa satu objektif iaitu anti rasuah.

“Kerana parti ini bercirikan inovatif, single objektif untuk melawan rasuah. Kami tiada pilihan, terpaksa bentuk parti ini untuk latih anak-anak muda. Kerana parti politik tidak fokus untuk dekatkan diri dgn remaja,” katanya.

Parti yang bakal membuat penampilan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 itu juga akan mendukung hasrat dan aspirasi yang dibawa oleh pembangkang, yang diterajui oleh Pakatan Harapan ketika ini. – MalaysiaGazette