Home Politik Ezam sah tubuh parti baru selepas beberapa kali lompat parti

Ezam sah tubuh parti baru selepas beberapa kali lompat parti

Ezam Mohd Nor
Ezam Mohd Nor

KUALA LUMPUR – Setelah beberapa kali melompat parti, bekas Senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor mengumumkan secara rasmi akan menubuhkan sebuah parti baru.

Parti yang akan memberi tumpuan kepada usaha memerangi rasuah sebagai objektif utamanya itu turut menampilkan bekas pemimpin akar umbi UMNO, Datuk Khairuddin Abu Hassan sebagai peneraju utama.

Jelasnya, ia ekoran daripada kegagalan parti-parti politik sedia ada yang menawarkan agenda memerangi rasuah secara habis-habisan, sebaliknya memberi fokus kepada perebutan kuasa.

“Parti akan hilang tumpuan apabila ia menjadi besar. Parti yang besar juga akan menyebabkan ia tertumpu kepada perebutan kuasa.

“Parti baru ini akan fokus dan membongkar lubuk kejahatan salah guna kuasa ini. Justeru, parti ini tidak boleh dan tidak akan menjadi parti besar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Karier politik Ezam bermula dari UMNO, yang kemudiannya keluar parti itu pada 1998 untuk menyertai PKR, namun keluar pada 2007 dan menyertai UMNO semula pada 2008.

Beliau kemudiannya sekali lagi membuat keputusan meninggalkan parti itu pada 2016 untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia(PPBM) namun, bertindak keluar parti selepas hanya tiga bulan penyertaan. – MalaysiaGazette