LOS ANGELES – Sebuah kelab dari Itali, Como secara rasmi menjadi milik kepada isteri bekas pemain Chelsea, AC Milan dan Real Madrid Michael Essien semalam.
“Sukacita dimaklumkan Akosua Puni, isteri kepada Essien merupakan pemilik baharu kelab.
“Pemilik juga komited untuk membawa semula FC Como ke Serie B secepat mungkin dan mengembangkan para pemain berbakatnya supaya mereka dapat menunjukkan kemampuan terbaiknya,” demikian kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh kelab itu.
Menurut laporan ESPN, Puni telah mengeluarkan dana sebesar €237,000 dalam usaha untuk memiliki kelab divisyen tiga itu.
Harga itu tidak termasuk pembelian pusat latihan pasukan dan penggantian nama Calcio Como.
Selepas dimiliki Puni, kelab dengan gelaran Lariani itu akan menggunakan nama FC Como.
Sebelum ini, terdapat tiga kali usaha untuk menjual kelab ini tetapi tiada yang menunjukkan minat.
Ditubuhkan pada 1907, Como lebih banyak beraksi di peringkat bawah bola sepak Itali.
Kali terakhir mereka beraksi di Serie A adalah pada musim 2002/03 dan terus berada di zon bawah dalam tiga musim berturut-turut. Essien kini menyertai kelab Indonesia Persib Bandung. – MalaysiaGazette