Home Utama Peniaga resah harga mahal, pasar kosong

Peniaga resah harga mahal, pasar kosong

KUALA LUMPUR – Kenaikan harga barang-barang mentah bukan sahaja menyebabkan para pengguna mengeluh, sebaliknya peniaga juga semakin resah.

Masakan tidak, jika dulu semua jenis ikan dijual tetapi pada hari ini peniaga perlu lebih memilih kerana ada ikan tertentu yang laku.

Menurut mereka, jika tiga tahun lalu boleh berniaga setiap hari namun pada hari ini ada peniaga yang berniaga pada waktu tertentu – yang mana ketika jumlah pelanggan banyak.

Itulah hakikat nasib para peniaga di Pasar Sungai Besi.

Peniaga, Ishak Shaari menyusun ikan yang dijualnya ketika tinjauan harga barang di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2017.
Peniaga, Ishak Shaari menyusun ikan yang dijualnya ketika tinjauan harga barang di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2017.

Seorang peniaga ikan, Ishak Shaari mengakui kehidupan orang berniaga semakin sukar disebabkan kenaikan harga barang.

Katanya, hampir semua ikan yang dibeli di pasar borong naik antara RM4 hingga RM12 sekilogram, menyukarkan peniaga kecil sepertinya.

Ishak berkata, dulu ikan mayong hanya RM12 sekilogram, hari ini RM20. Ikan kembung dulu dalam RM10 hingga RM16, sekarang RM22.

“Kita beli pun sudah mahal, takkan hendak jual murah pulak. Kita kena juga kira kos minyak dan perjalanan lagi.

“Tapi kalau jual mahal ikan tak laku. Jual murah saya rugi.

“Kami peniaga ni ibarat macam perahu. Ketika air surut, mungkin sampai paras batu kita boleh tawar-menawar. Kalau perahu sudah sama paras dengan air, hendak bagi murah macam mana lagi,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Ishak berkata, dia kini bekerja seorang kerana hasil perniagaan yang merosot menyebabkan tidak mampu menggaji pekerja sebanyak RM50 sehari.

“Sekarang ini sayalah kuli, sayalah taukeh. Saya tidak berani ambil pekerja. Pendapatan sudahlah tak seberapa, lepas tolak ini, tolak itu, langsung tak nampak hasil,” katanya.

Ah Keong
Ah Keong

Ah Keong yang juga berniaga ikan di Pasar Sungai Besi turut merungut kerana perniagaannya semakin merosot sejak tiga tahun kebelakangan ini.

Berbanding tahun lalu, tahun ini lebih perlahan, katanya.

Katanya, pembeli tidak lagi berbelanja besar dan sangat selektif pada ikan-ikan yang dibeli mereka.

Ah Keong yang menjual sotong, udang, ketam dan ikan memberitahu, dia tidak lagi menjual banyak pilihan ikan kerana khuatir tidak laku.

“Saya hanya menjual dalam 20 hingga 30 ekor ketam sahaja. Kalau udang pun saya ada dalam 5 kilogram. Macam hari ini saya jual ikan bawal hitam besar tetapi dalam enam ekor.

“Kalau ikan selar kecil macam ini saya beli banyak sebab memang orang beli. Tapi ikan bawal ini, kalau saya beli banyak, memang susah laku. Nanti saya yang rugi,” ujarnya.

Ah Keong yang memang bergantung hasil jualannya di pasar itu berkata, beliau bekerja selama 12 jam sehari tetapi hasil semakin tidak berbaloi.

“Saya bangun pukul 3 pagi pergi pasar, berniaga sampai pukul 1 atau 2 petang. Dulu lagi cepat saya balik rumah sebab ramai orang beli, ikan cepat habis. Sekarang saya tunggu lagi lama untuk habiskan hasil jualan,” katanya.

Ah Keong memberitahu, nasibnya sama dengan peniaga-peniaga ikan lain di pasar itu kerana kenaikan kos hidup dan harga barang menyebabkan jumlah pengunjung pasar itu merudum dengan ketara.

Sambil menunjukkan persekitaran pasar yang lengang, Ah Keong berkata, kalau dulu pukul 7 pagi kawasan pasar sudah penuh dan pukul 11 sudah ada peniaga yang tutup kedai.

Tetapi, keadaan itu tidak berlaku lagi pada hari ini. Pasar Sungai Besi hanya ‘bernyawa’ pada hari Sabtu dan Ahad, itu pun bukan sepanjang minggu.

“Dulu semua 20 gerai ikan di sini penuh. Sekarang ramai yang tidak berniaga setiap hari sebabnya jumlah ikan lagi banyak daripada pembeli,” tambah beliau.

Bagaimanapun, situasi berbeza bagi penjual ayam di Pasar Sungai Besi yang mengakui permintaan bagi ayam meningkat.

Peniaga, Yahya Amri ketika ditemuramah tinjauan harga barang di Pasar Sungai Besi, Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 17 MAC 2017.
Yahya Ambri

Peniaga ayam, Yahya Ambri tidak menolak permintaan ayam meningkat didorong oleh kenaikan harga ikan.

Katanya, dalam situasi semasa, dia masih dapat menjual 60 hingga 80 ekor ayam segar sehari.

“Berbanding kenaikan harga semasa akhir tahun lalu, harga ayam semakin stabil,” katanya.

 Esah Kechot
Esah Kechot

Sementara itu, peniaga sayur, Esah Kechot berkata, bukan mudah hendak menjadi seorang peniaga sekarang terutama dalam keadaan yang semakin mencabar berbanding 40 tahun lalu disebabkan semua barang naik harga.

Beliau yang berniaga sayur-sayur kampung dan barang-barang kering di pasar itu sejak tahun 1970an memberitahu, tidak ada satu barang pun yang tidak naik.

“Dulu buah nangka hanya beberapa sen sekilogram sekarang jadi RM6. Serai pun seikat besar sudah cecah RM13. Petai pun sudah cecah RM100 lebih untuk satu gugus besar. Macam mana nak jual pada pelanggan, semua mahal.

“Bila semua barang mahal memang payah, pelanggan beli pun sikit-sikit saja. Ada pelanggan yang merungut. Tapi makcik pun tak boleh kata apa, sebab kita pun pembeli jugak,” katanya.- MalaysiaGazette