KUALA LUMPUR – Daripada cuba memujuk ahli-ahli Pas menyokong DAP adalah lebih baik jika Lim Kit Siang menjaga partinya yang kini sedang berpecah.
Setiausaha Pas Negeri Selangor, Mohd. Khairuddin Othman berkata, usaha Penasihat DAP itu tidak akan berjaya memandangkan kesetiaan ahli-ahli parti kukuh dan menyifatkan langkah itu hanya sia-sia.
“Lebih baik beliau (Kit Siang) memberi tumpuan kepada ahli DAP yang keluar meninggalkan DAP dari membuang masa memujuk ahli PAS,” Mohd. Khairuddin dipetik berkata.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Jaras itu juga membidas DAP yang dianggapnya sudah terdesak memandangkan mereka sedar orang Melayu kini menolak mana-mana gabungan pembangkang yang didominasi DAP malahan masyarakat Cina juga ada yang masih kekal menyokong Pas.
“Masyarakat Malaysia khususnya Melayu akan menolak mana-mana pakatan yang di dominasi oleh DAP seperti Pakatan Harapan. Ini realiti sebenar,” tegas beliau.
DAP kini berdepan krisis dalaman parti susulan tindakan keluar parti beberapa pemimpinnya di Melaka dan disusuli pula dengan ahli-ahli parti selang beberapa minggu selepas ini.
Kerjasama DAP dengan bekas musuhnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyaksikan penolakan akar umbi terhadap keputusan pucuk pimpinan parti untuk meneruskan kerjasama politik. – MalaysiaGazette
Comments are closed.