Home Dunia Filipina tidak dapat hentikan China – Duterte

Filipina tidak dapat hentikan China – Duterte

Rodrigo Duterte

MANILA – Rodrigo Duterte mengakui beliau tidak dapat menghentikan China daripada membina beting yang dipertikaikan berhampiran pantai barat Filipina kerana negara itu terlalu kuat.

Datuk Bandar bandar Sansha, China telah dilaporkan berkata, negaranya akan menubuhkan sebuah stesen pemantauan alam sekitar di Beting Scarborough, yang berjaya dirampas China daripada Filipina pada tahun 2012.

“Kami tidak boleh menghentikan China daripada apa yang dilakukan.

“Apa yang anda mahu saya lakukan? Isytihar perang dengan China? Saya tidak boleh. Kita tidak boleh kehilangan semua tentera dan polis esok dan kita akan menghancurkan negara,” kata Presiden Filipina sebelum berlepas ke Myanmar.

Bagaimanapun, Duterte berkata, beliau akan meminta agar China tidak mengganggu pengawal pantai negara tersebut.

Beliau turut menolak kebimbang berhubung tinjauan kapal-kapal China dekat Benham Rise, perairan timur di Luzon yang diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai Wilayah Filipina yang tidak boleh dicabar.

Beliau menyifatkan kebimbangan terhadap China itu sebagai sesuatu yang tidak perlu.

Filipina semasa di bawah pemeritahan Benigno Aquino aktif mencabar tuntutan China untuk mengawal kebanyakan kawasan di Laut China Selatan.

Walau bagaimanapun Duterte, yang mengambil alih jawatan pada tahun lalu pula memohon pelaburan dan geran dari Beijing.

Para penganalisis memberi amaran pembinaan di Scarborough Shoal akan mengubah keadaan kerana ia hanya 230 kilometer (143 batu) dari Luzon. – MalaysiaGazette