Home Nasional Siapa 2 ahli pembangkang beri maklumat salah kepada WSJ?

Siapa 2 ahli pembangkang beri maklumat salah kepada WSJ?

Abdul Rahman Dahlan

KUALA LUMPUR – Datuk Abdul Rahman Dahlan hari ini mendedahkan ada tiga individu yang memberi maklumat salah kepada Wall Street Journal (WSJ) mengenai situasi ekonomi sehingga negara hampir terlepas pelaburan Saudi Aramco di Pengerang.

Salah seorang daripadanya ialah Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle dan dua lagi merupakan ahli pembangkang tetapi tidak dinamakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

“Seorang daripada mereka adalah Clare (Rewcastle) Brown, dua yang lain adalah anggota pembangkang,” kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Clare adalah editor Sarawak Report, dimana sering membuat pendedahan lantang terhadap kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri juga melahirkan rasa kecewa dengan tindakan sesetengah pihak yang memburukkan negara kepada Arab Saudi tetapi mereka kini ‘berdiam diri’ selepas Saudi Aramco mengesahkan pelaburannya di Pangerang.

Pada 26 Januari lalu, WSJ dalam laporannya menamakan “tiga orang yang biasa dengan perkara itu” sebagai berkata Saudi Aramco menarik diri daripada projek Pengerang.

Reuters juga menerbitkan laporan sama dengan memetik “sumber-sumber industri” sehari sebelum itu, pada 25 Januari.

Di sebalik laporan awal itu, Saudi Aramco dan Petronas akhirnya memeterai perjanjian usaha sama bernilai RM30 bilion untuk membangunkan projek Kompleks Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang, Johor.

Perjanjian itu ditandatangani ketika lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud, semasa melawat negara ini pada 27 Februari lalu. – MalaysiaGazette.