Home Nasional Tiada urus niaga senjata api dengan International Golden Services – KPN

Tiada urus niaga senjata api dengan International Golden Services – KPN

Khalid Abu Bakar

KULAI – Syarikat International Golden Services Sdn Bhd tidak pernah berurus niaga senjata api di negara ini seperti yang didakwa sesetengah pihak, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini.

Sebaliknya kata beliau, syarikat itu yang merupakan usaha sama Korea Utara dan Malaysia hanya menjual produk komunikasi ketenteraan dikenali Glocom.

“Syarikat ini tidak pernah berurus niaga senjata api di dalam negara jadi tidak benar (tuduhan itu).

“… (hanya) tohmahan mereka menjual-beli senjata api, (tetapi) tidak ada…tidak ada satu senjata pun mereka jual,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Khalid berkata meskipun syarikat itu terlibat dalam pameran dan persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia di Malaysia sebanyak tiga kali pada 2012, 2014 dan 2016, mereka tidak pernah menerima tempahan untuk Glocom.

“Walaupun mereka cuba memasarkan peralatan telekomunikasi ketenteraan ini, (produk) itu juga tidak berjaya mereka jual, jadi itu penjelasan saya terhadap syarikat Korea Utara itu,” katanya.

Syarikat itu yang didaftarkan pada pertengahan 2012 ditutup pada 15 Mac lalu selepas permohonan dibuat kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Mengulas perkara itu, Khalid berkata, pemegang saham warga Malaysia pernah memohon untuk menutup syarikat itu pada 2015 namun permohonan tersebut tidak ditandatangani oleh pemegang saham dari Korea Utara. – MalaysiaGazette