Home Nasional Banjir di Rembau tak kena mengena empangan pecah

Banjir di Rembau tak kena mengena empangan pecah

SEREMBAN – Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn. Bhd. (SAINS) menafikan dakwaan kononnya Empangan Pedas pecah sehingga mengakibatkan banjir di Rembau dan kawasan sekitarnya semalam.

Pengarah SAINS, Wan Rasdi Wan Ismail berkata, kejadian banjir itu tiada kena-mengena dengan empangan pecah, yang katanya sengaja direka bagi memburukkan lagi keadaan.

“Banjir ini kerana hujan lebat yang menyebabkan limpahan air sungai. Empangan Pedas berada dalam keadaan baik dan jika penuh pun ia (empangan) akan mengeluarkan air melalui alur limpah ke sungai.

“Saya minta orang ramai tidak panik, tidak perlu tular benda yang tidak betul dan tidak perlulah mereka-reka cerita,” katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas kejadian banjir di Rembau dan Kuala Pilah yang ditularkan dalam media sosial kononnya ia berlaku akibat Empangan Pedas pecah.

Wan Rasdi berkata sekiranya benar, sudah tentu ramai yang terkorban, namun apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Hentikan sebar benda yang tidak sahih. Semua empangan di sini masih dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya.

Semalam, Anggota Parlimen Rembau yang juga Menteri Belia Dan Sukan Khairy Jamaluddin menafikan bahawa banjir berkenaan berlaku akibat empangan pecah.

Beliau sebaliknya menegaskan ia berpunca daripada hujan lebat luar biasa sejak malam kelmarin yang menyebabkan limpahan di Sungai Rembau. -MalaysiaGazette.