Home Utama Penjara 20 tahun kepada penerima Datuk palsu

Penjara 20 tahun kepada penerima Datuk palsu

Penjara

KUALA LUMPUR – Pihak yang cuba menjual anugerah, meminta gelaran serta darjah kebesaran palsu tidak akan terlepas daripada hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Malah, bagi mereka yang menerima atau menggunakan gelaran yang tidak diiktiraf pula boleh dipenjara sehingga tiga tahun.

Hukuman itu diluluskan oleh Parlimen pada November tahun lepas dengan menetapkan ia di dalam Akta Kesalahan Yang Berhubungan Dengan Anugerah 2016.

Menurut Warta Persekutuan, ia telah menerima perkenan diraja pada 3 Februari lalu dan Majlis Datuk-Datuk Persekutuan Malaysia (MDPM) menegaskan, akta baharu itu akan menjadi penghalang dalam usaha membendung gelaran ‘Datuk palsu’.

“Kami menyokong akta itu dan mengalu-alukan penguatkuasaan dilaksanakan berdasarkan peruntukan,” kata Setiausaha Agung MDPM, Datuk Josephine Clement yang dipetik dari sebuah laman portal.

Menurut Clement, majlis telah membincangkan isu penganugerahan palsu dan gelaran yang meragukan itu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Katanya, satu pangkalan data nasional bagi ‘menapis’ gelaran Datuk untuk penelitian awam juga telah diwujudkan termasuk sebuah laman protokol Persekutuan (www.istiadat.gov.my) yang menyediakan senarai daftar semua anugerah di peringkat Persekutuan dan peringkat negeri-negeri.

“Mungkin senarai terkini dan disahkan dapat dipaparkan tidak lama lagi bagi membolehkan orang ramai memeriksa status pemegang gelaran yang mencurigakan dan melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya lagi.

Perkara sama turut dibangkitkan oleh Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong yang memberitahu, salah satu cara untuk mengesan individu yang menggunakan gelaran Datuk palsu adalah dengan melihat bagaimana dirinya ‘membawa’ gelaran tersebut.

“Ada yang enggan mencetak gelaran pada kad nama kerana bimbang ia boleh digunakan sebagai bukti,” katanya.

Dalam pada itu, beliaumenggesa pihak media supaya bersikap lebih tegas apabila mengumumkan ucapan tahniah dan memastikan bahawa penerima yang dinamakan adalah pemegang gelaran yang sah.

“Apa yang orang baca dalam surat khabar, mereka akan anggap ia sebagai benar,” ujarnya.

Michael berkata, memeriksa selempang dan lambang yang digunakan dapat mendedahkan jika seseorang itu menggunakan anugerah palsu.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan membeli anugerah palsu kononnya daripada ‘wakil diraja’ sambil menambah sebarang gelaran hanya boleh diberikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja negeri atau Yang Dipertua Negeri. – MalaysiaGazette