SUDAN – Sekurang-kurangnya 37 orang cedera apabila sebuah pesawat terhempas ketika mendarat Lapangan Terbang Wau, dekat barat laut Sudan.
Kemalangan itu menyebabkan keseluruhan pesawat itu terbakar kecuali di bahagian ekor.
Ketika kejadian terdapat 40 penumpang dan lima anak kapal dalam pesawat South Supreme Airlines yang berlepas dari Juba, kata Gabriel Ngang, pengurus syarikat penerbangan itu.
Menteri Penerangan, Bona Gaudensio berkata, ambulans telah dihantar untuk membawa penumpang dari lapangan terbang ke hospital.
“Kami telah membawa 37 orang penumpang ke hospital dan 31 daripada mereka telah diperiksa. Manakala bakinya boleh pulang esok,” kata Gaudensio.
Difahamkan tiada kemalangan jiwa dalam tragedi itu.
Jurutera Lapangan Terbang Wau, Paul Charles berkata, cuaca dalam keadaan tidak baik ketika pesawat hendak mendarat.
“Jarak penglihatan tidak baik dan pesawat hendak mendarat dari timur ke barat, ketika ia terhempas di landasan. Juruterbang dipercayai tidak dapat melihat landasan dengan baik,” katanya.
Kejadian itu menyebabkan pesawat berkenaan terbakar dan asap hitam kelihatan berkepul-kepul.
Pada November 2015, 36 orang terbunuh apabila pesawat era Soviet terhempas sejurus selepas berlepas dari Juba. – MalaysiaGazette