Home Politik Tun M minta Nazri tukar lokasi debat

Tun M minta Nazri tukar lokasi debat

Tun Dr. Mahathir Mohamad

PUTRAJAYA – Tun Dr. Mahathir Mohamad memberi cadangan agar debat beliau dengan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz diadakan ditempat lain bukan di Kuala Kangsar dan tidak perlu mendapat kebenaran polis.

Bekas perdana menteri itu berkata, beliau sudah bersiap sedia dan akan meneruskan hasratnya walaupun terpaksa mengubah tarikh dan lokasi debat yang akan berlangsung nanti, lapor sebuah laman portal.

“Kita boleh tawar untuk debat di Shah Alam atau tempat lain supaya ada debat di tempat yang tak perlu kebenaran polis,” katanya pada sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.

Sebelum ini, debat antara dua pemimpin politik itu dijadualkan di Dewan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Kuala Kangsar Sabtu ini.

Bagaimanapun, Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan hari ini berkata, permohonan penganjur tidak menepati Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 selain permohonan lewat dihantar serta Dewan MRSM tidak sesuai kerana ia kawasan sekolah dan melanggar APA.

Dalam pada itu, Mahathir mempersoalkan keputusan polis yang tidak membenarkan debat yang berbentuk wacana minda itu untuk diadakan dengan kerana melihat ia bukannya sebagai perhimpunan jalanan.

“Saya ada perasaan ada orang takut sebab (debat ini) berkenaan orang itu dan dia berkuasa…Apa takut sangat nak debat? Kita dedah semua, kalau dia tak salah, apa nak takut. Kita negara demokratik, semua patut secara terbuka.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu memberi masa sehingga petang esok untuk Nazri membuat semua persediaan bagi memastikan debat itu akan diadakan.

“Kita bagi masa sehingga petang esok, kalau boleh bagi jaminan. Kalau jumpa seorang sahaja tak ada makna, macam sembunyi dari rakyat.

“Kalau tak boleh bagi, dia seorang nak pergi situ buat apa? Nak suruh saya pergi sama, saya tengok dia, dia tengok saya?” soalnya. – MalaysiaGazette