ENGLAND – Penyerang Leicester City, Jamie Vardy mendakwa dia dan keluarganya menerima ugutan bunuh selepas pemecatan pengurus kelab itu, Claudio Ranieri pada Februari lalu.
Vardy kini bersama pasukan kebangsaan England untuk perlawanan antarabangsa.
Beliau juga mendakwa pada Isnin lalu berlaku percubaan untuk menculik dan mengancam bunuh anak dan isterinya semasa isterinya memandu kereta.
Beberapa laporan mendakwa Vardy antara pemain yang memainkan peranan disebalik konspirasi menjatuhkan bekas pengurus kelahiran Itali.
“Memang cerita itu tular di luar sana dan orang membaca dan kamu menerima ancaman bunuh melibatkan keluarga dan anak,” katanya.
Ditanya mengenai bentuk ancaman yang diterima anak dan isterinya, Vardy berkata; “Hampir setiap minggu saya menerima ugutan itu dan penyokong bola dilihat seperti tidak menyukai saya.
“Ancaman ke atas anak dan isteri berlaku beberapa kali dan ia sangat menakutkan,” keluhnya.
Vardy bagaimanapun mengakui dia tidak membuat laporan polis mengenai insiden itu dan turut menafikan ada penglibatan pemain Leicester disebalik pemecatan Ranieri di Stadium King Power.
“Apa yang telah dilakukan oleh Ranieri untuk kelab ini adalah luar biasa dan tiada siapa yang boleh menjangkakan untuk sejuta tahun lagi.
“Kami hanya boleh berterima kasih kepadanya,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette