Thursday, November 28, 2024
Home Seni Hidup Idris Khan berhijrah ke London

Idris Khan berhijrah ke London

KUALA LUMPUR – Pelakon yang pernah terpalit dengan kontroversi gambar lucah, Idris Khan akhirnya  mengambil keputusan untuk berhijrah ke London.

Namun Idris, 29, bukan merajuk atau melarikan diri daripada kontroversi tersebut.

Sebaliknya, dia yang kini berjinak sebagai penerbit merancang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang seni di kota tersohor itu.

Kata pelakon drama Abang Sado Jemur Kain itu, dia mahu menyambung pengajian dan memantapkan ilmu lakonan serta penerbitan biarpun sudah tiga tahun bergelar anak seni.

“Saya akan menyambung pengajian dalam jurusan lakonan pada tahun ini atau pun paling lewat tahun bergantung kepada jadual kerja.

 “Saya sudah mengenal pasti beberapa pusat pengajian namun London School of Arts menjadi pilihan utama saya.

“Kursus yang saya ambik adalah jangka pendek dan dijangka mengambil masa antara dua hingga empat minggu,” jelasnya ketika ditemui dalam majlis pelancaran Hari Pengasas KO edisi ke-2, di sini kelmarin.

Idris turut memberitahu dia mendapat tawaran lakonan daripada sebuah produksi antarabangsa, Netflix.

“Saya akan berlakon sebuah drama bersiri terbitan Netflix namun belum dapat menjelaskan lebih terperinci mengenai tajuk drama tersebut.

“Saya harap peluang ini nanti mampu mengetengahkan bakat lakonan saya hingga ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Mengenai pembabitannya pada Hari Pengasas Ko, Idris berkata, dia kini mula aktif membantu pesakit kanser di seluruh Malaysia melalui badan amal selepas  sedih melihat rakannya menderita dan ada juga yang telah meninggal dunia akibat penyakit itu. – MalaysiaGazette