Home Nasional Pengawal peribadi mengaku tidak bersalah cuba bunuh 5 individu

Pengawal peribadi mengaku tidak bersalah cuba bunuh 5 individu

Pengawal peribadi Ja'afar Halid, 37, semasa dibawa anggota polis ke Mahkamah Majistret hari ini atas tiga pertuduhan membunuh, lima pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan mendatangkan kecederaan pada 1 Dis lepas. Mahkamah menetapkan 16 Januari ini untuk sebutan semula kes.

GEORGE TOWN – Seorang pengawal peribadi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan cubaan membunuh lima individu menggunakan sepucuk senjata api tahun lepas.

Ja’afar Halid, 38, dituduh cuba membunuh dengan menembak K. Arivani, 33, di kepala; Nurul Huda Ab Aziz, 38, di bahu; Lee Hong Boon, 56, di dada kiri; Mohamad Amirul Amin Mohamed Amer, 28, di dada kiri; dan Puah Bee Joo, 32, di bahu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di susur masuk ke Jambatan Pulau Pinang di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini antara pukul 7.15 malam dan 7.30 malam, 1 Dis tahun lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi setiap kesalahan itu yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, semasa dihadapkan di mahkamah pada 14 Dis lepas, pengakuan Ja’afar tidak direkodkan berdasarkan kepada kesihatan mentalnya dan diarah menjalani pemeriksaan kesihatan mental di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama satu bulan.

Hakim Roslan Hamid kemudiannya menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula kes untuk tertuduh melantik peguam serta serahan dokumen. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Huda Idris dan Lim Saw Sim.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret 1, mahkamah menetapkan tarikha yang sama untuk sebutan semula tiga pertuduhan kes bunuh terhadap Ja’afar dan pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Fatin Hussin.

Ja’afar didakwa membunuh majikannya Datuk Ong Teik Kwong, 32, dan dua individu lagi, Choi Hoi Ming, 32, dan Senthil Murugiah, 38, dengan menembak menggunakan sepucuk senjata api di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Untuk setiap kesalahan itu, Ja’afar didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah berasingan, Majistret Sharifah Izura Syed Mashor turut menetapkan 24 April ini untuk sebutan semula pertuduhan kes mendatangkan kecederaan terhadap Ja’afar.

Ja’afar dituduh mendatangkan kecederaan terhadap Lim Boon Leng, 33, dengan memukul di bahagian kepala menggunakan sepucuk senjata api di tempat, masa dan tarikh yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara 20 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

— BERNAMA