Home Nasional PERKASA anjur sidang meja bulat bincang isu UEC

PERKASA anjur sidang meja bulat bincang isu UEC

Ibrahim Ali. foto FAREEZ FADZIL, 05 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Perkasa (PERKASA) akan menganjurkan persidangan meja bulat khas bagi membincangkan sijil kontroversi Sijil Pelajaran Bersepadu (EUC) bulan depan.

Menurut Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali, isu berkenaan penting untuk dibincangkan berikutan kesannya terhadap kepentingan rakyat dan negara ini terutama dalam konteks pendidikan.

“Isu sijil UEC dilihat dalam beberapa perspektif antaranya sudut komersial dan politik. 

“Pada PERKASA persoalan pendidikan yang ada kaitan dengan kenegaraan, falsafah pendidikan kerajaan harus bebas dari sebarang bentuk pengaruh politik dan juga nilai komersial.

“Kita nak bincang perkara ini secara akademik dan profesional. Luar daripada politik , perkauman.  Maka sebab itu kita putuskan ada sidang meja bulat,” katanya hari ini.

Persidangan yang akan dibuat pada 1 April di Hotel Regency  itu akan memberi tumpuan kepada pengiktirafan terhadap sijil-sijil daripada luar sama ada memenuhi kriteria dasar pendidikan negara atau sebaliknya.

Turut ditampilkan, beberapa tokoh ternama dalam bidang akademik seperti Ketua Kluster Pendidikan dan Modal Insan, Majlis Profesor Negara, Datuk Prof. Zakaria Kasa, Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Prof. Dr. Teo Kok Seong serta beberapa nama besar yang lain.

Pada akhir sidang meja buat tersebut, PERKASA akan membuat satu resolusi yang akan dibentangkan kepada pihak kerajaan untuk tindakan seterusnya.

Tambah Ibrahim, kajian atau sidang meja bulat itu juga bertujuan untuk menyelamatkan dasar pendidikan negara daripada sebarang tekanan politik terutama ketika musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang semakin hampir.

Sebelum ini, beberapa parti termasuk MCA mahu kerajaan memberi kebenaran membolehkan pelajar dari sekolah persendirian Cina berkelulusan EUC melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung pendiriannya untuk bertanding pada PRU-14 yang akan datang, Ibrahim masih berminat meneruskan hasrat untuk menjadi calon seperti yang diumumkan sebelum ini.

Namun, maklumat terperinci sama ada beliau mahu bertanding di bawah mana-mana parti atau bebas belum diputuskan.

Tambah Ibrahim, kekecewaannya terhadap parti-parti politik sedia ada membuatkan beliau tawar hati untuk bertanding di bawah mana-mana parti namun masih membuat kajian untuk keputusan muktamad.

Kekecewaan tersebut menurutnya ekoran daripada sifat kesemua parti politik hari ini yang mengongkong ahli atau pemimpin daripada menegur salah laku dalaman parti terutama pemimpin tinggi.

Ibrahim Ali sebelum ini juga lantang mengkritik kerajaan Pas Kelantan berhubung isu pembalakan yang didakwa didalangi oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Abdullah tanpa sebarang teguran daripada ahli mahu pun pemimpin lain dalam parti.-MalaysiaGazette