JOHOR BAHRU – Majlis pra-pelancaran Rumah Impian Bangsa Johor, Yayasan Sultan Ibrahim (YSI) di Galleria@Kotaraya hari ini dibanjiri oleh ribuan pengunjung sejak awal lagi walaupun majlis disempurnakan di sebelah petang.
Keadaan itu menyebabkan berlaku kesesakan sementara menunggu Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tiba untuk majlis pelancaran.
MalaysiaGazette difahamkan, orang ramai mula datang ke pusat beli-belah itu seawal pukul 5 pagi walaupun waktu mula operasi pusat berkenaan bermula pukul 10 pagi.
Rumah Impian Bangsa Johor merupakan cetusan ilham Sultan Johor bagi membantu rakyat negeri ini khususnya yang masih belum memiliki rumah melalui yayasan tersebut yang ditubuhkan pada 14 Julai tahun lalu.
Yayasan tersebut ditubuhkan antara lain untuk memberi tumpuan menjayakan rumah impian itu yang merangkumi pelbagai kategori harga dan jenis selain akan ditawarkan ditawarkan dengan beberapa kelengkapan seperti mesin basuh, televisyen, peti sejuk dan penghawa dingin.
Projek perintis rumah impian itu akan dilaksanakan oleh Johor Corporation (JCorp) melalui anak syarikat, Johor Land Bhd. di dua kawasan pembangunan bernilai tinggi dan strategik iaitu di Bandar Dato’ Onn dan Bandar Baru Majidee. – MalaysiaGazette.