JOHOR BAHRU – Sebanyak 195,000 permohonan diterima bagi Rumah Impian Bangsa Johor Yayasan Sultan Ibrahim yang dibuat menerusi laman web www.yayasansultanibrahim.org.my. setakat 7 malam tadi.
Permohonan tersebut diterima tidak sampai tiga pra-pelancaran bagi rumah tersebut disempurnakan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Galleria@Kotaraya di sini kira-kira 4 petang semalam.
Turut berangkat mengiringi tuanku adalah Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail dan isteri, Che Puan Khaleeda Bustamam dan Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman.
Sultan Johor turut bertitah mengingatkan rakyat negeri ini yang berhasrat untuk memohon rumah tersebut supaya tidak terpedaya dengan tipu helah mana-mana pihak yang mendakwa mampu mendapatkan rumah berkenaan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim berkata, Sultan Johor juga terharu dengan sambutan yang diberikan rakyat negeri ini terhadap projek tersebut.
“Tolong jangan terpedaya dengan mana-mana pihak yang mendakwa mereka boleh membantu mendapatkan rumah tersebut menerusi cara yang diragui,” titah baginda, semalam.
Sultan Johor menerusi yayasannya bakal menyediakan sejumlah 1,840 unit Rumah Impian Bangsa Johor kepada rakyat negeri ini membabitkan tiga kawasan iaitu di Bandar Dato Onn, Bandar Baru Majidee dan Bukit Saujana berharga antara RM80,000 hingga RM420,000. – MalaysiaGazette.