Home Utama Saya reda Johan pergi – Nora

Saya reda Johan pergi – Nora

Isteri Allyarham Johan Nawawi, Nora memeberi tidak dapat menahan sebak di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya, Selangor. foto ADIB AIMAN ROSLI, 24 MAC 2017

PETALING JAYA – Penyanyi Nora Ariffin reda dengan pemergian suaminya, Johan Nawawi ketika mereka merancang meraikan sambutan ulang tahun perkahwinan yang ke-25 pada bulan depan.

Johan, 52, yang juga komposer meninggal dunia pada pukul 6.20 pagi tadi di sebuah pusat perbatan di Subang Jaya akibat serangan jantung.

Allahyarham dimasukkan ke hospital malam tadi.

“Pihak hospital telefon pagi tadi dan suruh datang sekarang. Bila saya sampai, doktor kata arwah baru menghembuskan nafas terakhir. Ketika itu jam 6.20 pagi dan memang waktu dia bangun solat Subuh.

“Saya tidak percaya dan minta hospital buat sesuatu. Doktor minta saya terima hakikat dan akhirnya saya reda. Dia pergi waktu elok, hari elok. Saya pun sempat jaga dia.

“Arwah bukan jenis cakap banyak. Tapi dia memang jenis kuat kerja dan mungkin dia stress,” katanya ketika ditemubual dalam rakaman video oleh pihak media di Masjid Ar-Rahman Kampung Tunku di di sini.

Orang ramai mengangkat jenazah Allahyarham Johan Nawawi untuk tatapan kali terakhir bagi keluarganya sebelum dikebumikan di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya , Selangor. foto ADIB AIMAN ROSLI, 24 MAC 2017
Orang ramai mengangkat jenazah Allahyarham Johan Nawawi untuk tatapan kali terakhir bagi keluarganya sebelum dikebumikan di Masjid Kampung Tunku, Petaling Jaya , Selangor. foto ADIB AIMAN ROSLI, 24 MAC 2017

Jenazah Johan disembahyangkan di masjid itu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara selepas solat Jumaat hari ini.

Pasangan ini dikurniakan empat anak iaitu Mohd Syakir Iman, 24; Mohd Syakir Alif, 19; Putri Nur Dahlia, 13; dan Putri Nur Fatehah, 5.

Menurut Nora, dia dan Johan merancang hendak meraikan ulang tahun ke-25 perkahwinan mereka pada 9 April ini.

“Kami merancang mengadakan persembahan meraikan majlis ulang tahun itu.

“Arwah suami bercadang untuk memakai tuksedo manakala saya mahu memakai gaun rekaan Azura Couture.

 “Tujuannya hanya ingin untuk mengenang kembali saat-saat indah di awal perkahwinan kami. Namun tak sangka dia pergi tiba-tiba,” katanya.
Sebak...Nora dan anak sulungnya, Mohd Syakir Iman (kiri) menatap wajah Allahyarham Johan Nawawi buat kali terakhir di Masjid Kampung Tunku , Petaling Jaya , Selangor. foto ADIB AIMAN ROSLI, 24 MAC 2017
Sebak…Nora dan anak sulungnya, Mohd Syakir Iman (kiri) menatap wajah Allahyarham Johan Nawawi buat kali terakhir di Masjid Kampung Tunku , Petaling Jaya , Selangor. foto ADIB AIMAN ROSLI, 24 MAC 2017

Berkongsi peribadi Johan, Nora berkata, arwah suaminya seorang yang baik dan tidak ada siapa yang mampu menggantikan tempatnya.

“Dia adalah sebaik-baik suami dan ayah buat kami semua. Mati hidup semula saya tidak mungkin dapat bertemu pengganti sama sepertinya.

“Walaupun sedih dan terkejut, saya reda dengan pemergiannya dan semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya. – MalaysiaGazette