Home Politik Kemunculan parti politik umpama ‘ketibaan musim buah’ – PBS

Kemunculan parti politik umpama ‘ketibaan musim buah’ – PBS

Johny Mositun

PAPAR – Kemunculan banyak parti politik baharu di negeri ini setiap kali menjelang musim pilihan raya diibaratkan sebagai ‘ketibaan musim buah-buahan’.

Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Johnny Mositun berkata parti-parti politik baharu dan pemimpin mereka kini sedang giat mencari ‘buah-buahan yang hampir masak’ demi kepentingan sendiri.

“Mereka ini umpama mencari buah-buahan yang dekat-dekat masak. Itu anggapan (perumpamaan) kita. Pada anggapan kita, setiap pilihan raya semua pemimpin pembangkang baru turun padang.

“Namun bagi Barisan Nasional (BN), kita telahpun turun padang sejak kita menang pada pilihan raya lalu hinggalah sekarang. Kita beri apa sahaja bantuan yang diperlukan kepada masyarakat sama ada di sekitar kampung atau di seluruh Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program ‘Sungkadon Obstacle Sprint Run’ di Kampung Sungkadon dekat sini hari ini yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kerja Raya yang juga Anggota Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Acara yang berjaya menarik lebih 400 peserta dari seluruh Sabah itu dianjurkan oleh Casero Events dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia, manakala majlis penyampaian hadiah disempurnakan menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Mengulas lanjut, Mositun berkata motif parti pembangkang yang tiba-tiba menonjolkan diri melalui pelbagai saluran termasuk media sosial sememangnya mencurigakan, namun BN tidak berasa gentar kerana sentiasa bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya.

Mengenai beberapa kes anggota dan pemimpin PBS meninggalkan parti berkenaan, Mositun yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah mendakwa ada pihak yang percaya bahawa parti pembangkang menjanjikan imbuhan kepada mereka yang meninggalkan parti itu.

“Bagi kita dalam PBS atau dalam komponen BN, kita bukan mahu tanya apa yang parti harus beri kepada kita tetapi kalau kita menyertai PBS, kita harus tanya apakah sumbangan kita untuk parti,” tegasnya.

Mengenai pengundi muda, Mositun berharap golongan itu tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang selain perlu memeriksa fakta yang disebarkan pembangkang.-MalaysiaGazette