BANGI – Status mayat warga Korea Utara yang mati dibunuh, Kim Jong-nam dijangka diumumkan dalam masa terdekat.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr.S. Subramaniam berkata, perbincangan masih diteruskan melibatkan beberapa pihak termasuk Wisma Putra, Jabatan Perdana Menteri dan pihak Korea Utara.
“Kita belum membuat sebarang keputuan tetapi sangat yakin pengumuman dijangkakan paling cepat hari ini seperti apa yang dibincangkan oleh JPM dan pihak lain yang berkepentingan.
“Saya dimaklumkan mereka telah mengadakan perbicangan dan pengumuman mengenai keputusan muktamad itu dijangkakan dari Jabatan Perdana Menteri,” katanya selepas merasmikan bangunan baharu Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Bangi di Bangi Lama di sini hari ini.
Menurut Subramaniam, apa jua keputusan yang diambil pihak berkuasa kerajaan fakta pembunuhannya kekal sama.
Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, M.Saravanan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz.
Dalam perkembangan yang sama, Subramaniam berkata, mayat abang tiri kepada pemimpin tertinggi Korea Utara yang diawet dan disimpan di Jabatan Forensik Hospital Kuala Lumpur masih menunggu kemunculan waris untuk dituntut.
Jong-nam dibunuh menggunakan bahan kimia Agen Saraf VX oleh dua wanita di Balai Ketibaan klia2 sekitar pukul 9 pagi pada 13 Februari lalu.
Terdahulu, Subramaniam yang juga Presiden MIC berkata, kerajaan akan membina sekolah pra-pendidikan atau taman pendidikan kanak-kanak di 300 sekolah Tamil negara ini.
Fasa pertama projek ini melibatkan pembinaan 50 buah pra sekolah.
“Projek pembinaan itu sudah bermula tahun awal tahun ini dengan peruntukan RM10 juta yang telah disediakan Kerajaan Pusat,” katanya.
Kerja-kerja mengenalpasti tanah, pemilihan kontraktor dan sebagainya sudah pun selesai dan dijangkakan siap pada pertengahan tahun 2018, katanya.-MalaysiaGazette