Home Sukan TMJ akan kembalikan era kegemilangan bola sepak – Sivarraajh

TMJ akan kembalikan era kegemilangan bola sepak – Sivarraajh

Presiden Persatuan Bolas Sepak Malaysia (FAM), Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Timbalan-timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal (kiri) dan Datuk Yusoff Mahadi (kanan) pada sidang media Kongres Tahunan ke-53 Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di Hotel Hilton, Petaling Jaya. foto NOOR ASEKUZAIREY SALIM, 25 MAC 2017

KUALA LUMPUR – Kehadiran Tunku Mahkota Johor, (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam pengurusan tertinggi bola sepak membuka lembaran baharu dalam arena sukan itu di negara ini.

Pelantikan beliau sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) semalam disifatkan sebagai permulaan baik masa depan cerah untuk skuad bola sepak kebangsaan.

Ketua Pemuda MIC Kebangsaan Datuk C. Sivarraajh berkata, pelantikan TMJ memberikan harapan baharu kepada rakyat khususnya peminat bola sepak tanah air yang sudah lama dahagakan kemajuan skuad kebangsaan di peringkat antarabangsa.

“Pelantikan TMJ sebagai Presiden FAM satu hadiah tuhan kepada kami sebagai rakyat Malaysia yang sudah lama menantikan kejayaan skuad bola sepak di arena antarabangsa.

“Kami mengalu-alukan dan teruja dengan Tunku Ismail yang secara rasminya menjadi Presiden FAM pada Sabtu.

“Beliau pemimpin terbaik yang akan tranformasikan FAM dan kesungguhan beliau untuk membangunkan skuad bola sepak kebangsaan kita.

C. Sivarraajh
C. Sivarraajh

“Sentuhan ajaib TMJ terhadap skuad JDT sehingga pasukan itu melakar sejarah memenangi Piala AFC pada tahun 2015 dan liga dan Piala FA tempatan antara bukti beliau paling layak dan sesuai untuk menghidupkan semula skuad bola sepak negara,” katanya dalam satu kenyataan kepada MalaysiaGazette hari ini.

Sivarraajh juga memuji rombakan pertama TMJ dalam skuad kebangsaan apabila melantik bekas Jurulatih JDT, Mario Gomez sebagai jurulatih kebangsaan menggantikan Datuk Ong Kim Swee yang dIlantik untuk menguruskan skuad bawah 23 tahun.

Beliau meluahkan kepercayaan terhadap tindakan TMJ itu sebagai menyelia lebih dekat persembahan dan progres pasukan bola sepak kebangsaan.

Pada masa yang sama Sivarraajh meluahkan hasratnya supaya TMJ turut memberi perhatian kepada pasukan bola sepak Persatuan Bola Sepak India Malaysia yang pertama kali beraksi di kancah liga tempatan.

Sivarraajh berkata, langkah itu penting untuk penyertaan dan pembangunan pasukan bola sepak dalam kalangan belia India tempatan bersama-sama menyumbang pembinaan bola sepak negara.

“Kami berharap TMJ turut menyediakan satu platform untuk pasukan bola sepak India tempatan untuk beraksi dalam Liga Profesional Tanahair. Bakat muda tempatan harus diberi suntikan dan melatih pemain muda untuk beraksi dalam skuad kebangsaan dan kelab terkemuka lain.

“Harapan kami adalah skuad bola sepak negara harus mengembalikan era kegemilangannya dibawah transformasi kepimpinan TMJ,” ujarnya lagi. – MalaysiaGazette