KUALA LUMPUR – Pengamal media kembali membanjiri Kedutaan Korea Utara selepas dilaporkan beberapa orang polis mengunjungi premis itu.
Wartawan dan jurukamera dari Korea dan Jepun sudah mula berkampung sejak pagi tadi.
Mereka memaklumkan ada kereta polis dan anggota polis yang memantau persekitaran Kedutaan Korea Utara.
Kedutaan Korea Utara tidak lagi menjadi tumpuan media selepas Duta Korea Utara, Kang Chol meninggalkan Malaysia pada 6 Mac lalu.
Jumaat lalu, Ketua Polis Negara berkata, polis tahu siapa yang berada di dalam kedutaan tersebut.
Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata demikian selepas rakaman video yang memaparkan kakitangan Air Koryo, Kim Uk-il sedang bermain snooker di kedutaan itu tersebar.
Uk-il adalah individu yang dicari untuk membantu kes pembunuhan Kim Jong-nam. Selain kakitangan syarikat penerbangan itu, polis Malaysia sedang memburu tujuh lagi individu.
Dua lagi ialah Setiausaha Kedua di Kedutaan Korea Utara, Hyun Kwang-song dan Ri Ji-u Empat lagi telah berada di Pyongyang.
Jong-nam, abang kepada pemimpin Korea Utara dibunuh pada 13 Februari lalu di balai berlepas klia2 ketika menunggu penerbangan ke Macau. – MalaysiaGazette