SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan kerajaan negerinya mengurangkan amalan berpolitik berlebihan dalam pentadbiran.
Malah baginda mahu kerajaan negeri menumpukan kepada agenda sebenar memaju dan membangunkan rakyat serta negeri.
Baginda bertitah, menjadi harapannya untuk melihat Selangor diurus tadbir dengan baik dengan memastikan kebajikan rakyat sentiasa terbela.
“Mutakhir ini, beta melihat perkembangan politik amat mengecewakan. Ia penuh dengan fitnah memfitnah dari kalangan pemimpin yang mengamalkan politik sempit.
“Oleh itu, beta mahu kerajaan negeri Selangor yang mendapat perkenan beta untuk mentadbir, jalankanlah tanggungjawab dengan baik, sempurna dan cemerlang. Jangan sekali-kali abaikan kebajikan rakyat,” titahnya.
Baginda bertitah demikian pada majlis pembukaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-13 Tahun 2017 di Bangunan Annex, di sini hari ini.
Turut hadir berangkat sama, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.
Baginda turut menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik hari ini yang telah mengubah landskap politik dari tujuan asalnya membela rakyat dan membangunan negeri kepada mainan amalan politik sempit.
Titah baginda, politik bukanlah untuk memburu kuasa, sebaliknya menjaga negeri dan rakyat secara berhemah.
“Beta mahu kerajaan negeri mencari usaha bagaimana untuk mempelbagaikan sumber pendapatan ekonomi negeri yang bukan hanya bergantung kepada hasil tanah semata-mata.
“Tingkatkan ekonomi negeri dengan mencari sumber baru, termasuk menyatu dan menyusun semula aset untuk mendapatkan nilai yang lebih mampan,” titah Sultan Selangor.
Baginda turut memberi contoh, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) misalnya perlu mempunyai keupayaan bersaing dengan pemaju swasta secara strategik dan mengekalkan matlamat penubuhannya ke arah menyediakan perumahan mampu dimiliki dan berkualiti.
Dalam titah itu juga, baginda mengingatkan pihak tertentu agar tidak mempolitikkan isu penstrukturan semula industri air kerana ia antara sumber keperluan utama rakyat.
“Beta difahamkan, Kerajaan Persekutuan turut mengambil langkah sama seperti kerajaan negeri dengan melantik penilai bebas untuk menentukan nilai pengambilalihan.
“Justeru, beta berharap Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dapat memuktamadkan proses ini dengan menjamin kepentingan negeri dan juga rakyat,” titahnya. – MalaysiaGazette