KUALA LUMPUR – Gabungan pembangkang masih kekal dengan nama Pakatan Harapan (PH) dan tidak akan ditukar kepada nama lain, kata Presiden PAN (Parti Amanah Negara) Mohamad Sabu.
Perkara tersebut diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini di bangunan Parlimen yang mana turut dipersetujui untuk memasukkan 18 nama pimpinan tertinggi bagi menerajui gabungan itu.
“Keputusan daripada mesyuarat hari ini ialah kami akan mendaftarkan Pakatan Harapan di mana 18 orang pimpinan tertinggi namanya akan dimasukkan sebagai Pakatan. Itu keputusan yang kita buat hari ini,” katanya kepada wartawan selepas mesyuarat.
Turut dipersetujui, logo baharu dan manifesto bersama juga akan dicipta untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
“Kita juga bersetuju untuk mencipta satu lagi logo dan manifesto bersama untuk pilihan raya akan datang. Buat masa ini itu namanya,” katanya.
Berhubung logo, Mohamad berkata, ia akan diputuskan oleh satu jawatankuasa teknikal untuk menelitinya sebelum memuktamadkan logo yang bakal mereka gunakan nanti.
Terdahulu, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan supaya nama PH ditukar kepada ‘Barisan Rakyat’ dalam usaha untuk melawan Barisan Nasional (BN).
PPBM merupakan parti komponen terbaharu PH selepas membuat keputusan menyertai gabungan pembangkang itu baru-baru ini. – MalaysiaGazette