KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pembebasan mangsa culik yang ditahan selama lebih lapan bulan oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf dibuat dengan kerjasama antara kerajaan Malaysia dan Filipina.
Menurut perdana menteri, selain itu, usaha berterusan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Luar dan pihak lain termasuk Kelab Putra 1Malaysia (KP1M) membuahkan hasil, dengan dua daripada lima mangsa culik berjaya dibawa pulang ke tanah air semalam.
“Kita bersyukur kerana dua rakyat Malaysia yang diculik selama lapan bulan, kini selamat tiba di negara kita dan dipertemukan dengan keluarga hari ini. Terima kasih kepada pihak-pihak yang terlibat dalam usaha menyelamatkan mereka.
“Bagi tiga lagi yang masih di sana, kita bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan Filipina untuk bawa mereka pulang, harap mereka tabah,” kata Najib kepada pemberita, di kediamannya di Jalan Duta, hari ini.
Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor sebelum itu bertemu dan mendengar sendiri cerita dua daripada mangsa culik berkenaan Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63, yang tiba di kediaman perdana menteri pada 8 pagi untuk dipertemukan dengan keluarga masing-masing, yang telah sedia menunggu.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid hari ini mengesahkan tiga lagi rakan Tayudin dan Abdul Rahim yang turut diculik, Fandy Bakran, 27, Mohd Jumadil Rahim, 24, dan Mohd Ridzuan Ismail, 33, telah diselamatkan tengah malam tadi.
Kesemua mereka yang merupakan kru kapal tunda Serudong Tiga, diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu pada 18 Julai, 2016.
Tayudin dan Abdul Rahim yang diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di selatan republik itu pada Khamis lepas, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang, malam tadi.
Pada pertemuan kira-kira 20 minit itu, Tayudin dan Abdul Rahim yang mengalami pelbagai masalah kesihatan termasuk tidak mampu berjalan dan mengalami masalah penglihatan, menceritakan bagaimana mereka dilayan seperti hamba abdi oleh penculik.
Mereka dipaksa melakukan pelbagai kerja seperti memasak untuk kumpulan berkenaan dan hanya diberi sisa makanan untuk dikongsi selain meminum air masin.
Najib berkata Tayudin dan Abdul Rahim akan dirawat oleh pasukan pakar di Hospital Selayang.-MalaysiaGazette