Home Nasional Sultan Selangor rasmi Sidang Dewan Negeri Selangor

Sultan Selangor rasmi Sidang Dewan Negeri Selangor

Sultan Sharafuddin Idris Shah

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyempurnakan istiadat pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-13 tahun 2017 hari ini.

Baginda yang diiringi Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah dan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tiba di pekarangan Bangunan Annex, di sini, kira-kira jam 9.30 pagi memulakan istiadat itu dengan memeriksa barisan.

Turut hadir, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Sidang Dewan Negeri Selangor dijadualkan berlangsung selama satu minggu dari 27 Mac hingga 7 April ini dan sesi menjawab soalan bertulis dari anggota Exco Kerajaan Negeri serta perbahasan usul bermula jam 9 pagi esok.

Persidangan dijangka hangat dengan isu ADUN Batang Kali, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yang dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Selangor berhubung kenyataannya pada sidang DUN 1 November tahun lepas.- MalaysiaGazette