Home Nasional DUN Selangor beri penghormatan 3 bekas wakil rakyat meninggal dunia

DUN Selangor beri penghormatan 3 bekas wakil rakyat meninggal dunia

Mohamed Azmin Ali

SHAH ALAM – Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pagi ini dimulakan dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) beragama Islam membaca surah Al-Fatihah dan ADUN bukan beragama Islam bertakafur selama seminit sebagai menghormati tiga bekas wakil rakyat yang meninggal dunia.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika memulakan ucapan takziah, turut berterima kasih kepada ahli keluarga ADUN Sungai Air Tawar, Allahyarham Kamarol Zaki Abdul Malek yang meninggal dunia pada 17 Januari lalu kerana hadir pada sesi sidang ini.

Beliau juga turut mengucapkan takziah kepada ahli keluarga bekas Exco Kerajaan Selangor, Allahyarham Datuk Mohd. Mokhtar Ahmad Dahlan yang meninggal dunia pada 21 Februari lalu dan kepada keluarga bekas Speaker DUN Selangor, Allahyarham Datuk Saidin Tamby yang meninggal pada 25 Februari lalu.

“Dewan Negeri Selangor merasa sedih dengan pemergian Allahyarham Kamarul Zaki, Allahyarham Datuk Saidin dan Allahyarham Datuk Mohd. Mokhtar.

“Marilah kita mendoakan semoga ketiga-tiga Allahyarham mendapat Husnul Khatimah iaitu pengakhiran yang baik serta roh mereka ditempatkan di Syurga bersama golongan yang solih.

“Saya mendoakan semoga isteri dan keluarga Allahyarham dianugerahkan Allah dengan kesabaran dan ketenangan serta redha dengan takdir Ilahi,” katanya pada ucapan permulaan Mesyuarat Pertama Persidangan Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor ke-13 Tahun 2017 di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini, hari ini.

Menurut Mohamed Azmin, ketiga-tiga wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) itu telah menunjukkan khidmat yang baik kepada kerajaan negeri dan rakyat sepanjang hayat mereka.

“Secara peribadi saya mempunyai pengalaman kerja yang baik dengan ketiga-tiga Allahyarham ini sama ada ketika saya ADUN Ulu Kelang, mahupun ADUN Bukit Antarabangsa,” katanya.

Dewan Negeri Selangor bersidang dari 27 Mac hingga 7 April ini. – MalaysiaGazette