Home Utama Mayat Jong-nam dikembalikan ke IPFN

Mayat Jong-nam dikembalikan ke IPFN

Mayat Kim Chol masih ditempatkan di Institut Perubatan Forensik Negara, HKL. foto MOHD HAZROL ZAINAL,

KUALA LUMPUR – Mayat abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, Kim Jong-nam dikembalikan ke Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dipercayai disebabkan oleh isu ‘teknikal’.

Mayat berkenaan sepatutnya dalam proses penghantaran pulang ke Macau, sebelum ia dihantar semula ke IPFN.

Memetik laporan The Sun hari ini, mayat Jong-nam dibawa balik ke institut berkenaan kira-kira 9.15 malam tadi, sehari selepas ia dikeluarkan oleh pihak hospital untuk penghantaran pulang.

Mayat yang dikeluarkan dari IPFN semalam dilaporkan dibawa ke terminal kargo KLIA, di mana ia sepatutnya dibawa ke Macau hari ini.

Bagaimanapun disebabkan masalah teknikal kargo, ia kemudian dibawa semula ke rumah mayat.

Menurut sumber, penghantaran pulang mayat Jong-nam kepada keluarganya diuruskan oleh Wisma Putra esok.

Jong-nam mati setelah diracun dengan ejen saraf VX oleh dua wanita, ketika mahu menaiki penerbangan ke Macau di KLIA 2 pada 13 Februari lalu.

Lelaki itu meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya dan dua wanita, Doan Thi Huong dan Siti Aisyah, masing-masing dari Vietnam dan Indonesia dituduh melakukan pembunuhan itu. – MalaysiaGazette