Home Utama 45 peratus kontrak LRT 3 diberi kepada Bumiputera

45 peratus kontrak LRT 3 diberi kepada Bumiputera

Najib Razak

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan 45 peratus daripada Projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) akan diberikan kepada syarikat-syarikat Bumiputera yang layak.

Najib berkata, syarikat-syarikat Bumiputera yang memohon kontrak itu akan dipilih secara merit bagi melaksanakan projek menelan belanja RM9 bilion itu.

“Menerusi inisiatif ‘Carve out and Compete’ yang dikelolakan dibawah TERAJU, sebanyak 45 peratus daripada jumlah kontrak akan dianugerahkan kepada syarikat-syarikat Bumiputera.

“Syarikat Bumiputera yang berkelayakan harus bersaing sesama sendiri untuk mendapatkan kontrak bagi projek berkenaan berlandaskan merit,” kata Najib selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB) di Parlimen hari ini.

Menurut Najib, inisiatif ‘Carve out and Compete’ yang diperkenalkan berjaya mencatatkan rekod pencapaian yang amat memberangsangkan dan terbukti membantu meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pelbagai projek mega.

Antaranya dalam projek MRT 1 dan 2 dimana jumlah keseluruhan syarikat Bumiputera yang terlibat melebihi 45 peratus atau lebih kurang RM22.4 bilion.

Dengan langkah ini, Najib berharap dapat melihat lebih ramai usahawan Bumiputera di seluruh negara untuk bergerak maju dan berdaya saing.

“Kerjasama strategik di antara pelbagai agensi kerajaan dan korporat seperti yang kita saksikan hari ini sudah tentu bakal menaik taraf syarikat Bumiputera dalam memajukan ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya lagi. – MalaysiaGazette