KUALA LUMPUR – Kadar kemalangan yang tinggi membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal menjadi punca perkhidmatan ‘Dego Ride’ diharamkan daripada terus beroperasi, kata Datuk Ab Aziz Kaprawi.
Timbalan Menteri Pengangkutan itu berkata, penggunaan ‘Dego Ride’ akan mengakibatkan lebih ramai penunggang dan pembonceng motosikal terdedah kepada risiko kemalangan maut dan kecederaan parah.
“Mengikut analisis yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), risiko pengguna motosikal untuk terlibat dalam kemalangan adalah tinggi dan yang mengakibatkan cedera parah adalah 42.5 kali lebih tinggi daripada bas dan 16 kali lebih tinggi daripada kereta.
“Penggunaan Dego Ride akan mengakibatkan lebih ramai pengguna jalanraya terdedah kepada risiko kemalangan maut dan kecederaan parah.
“Oleh itu atas faktor-faktor keselamatan penunggang dan pembonceng motosikal, maka Kementerian Pengangkutan telah memutuskan untuk tidak membenarkan Dego Ride beroperasi di jalanraya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Dr Mujahid bin Yusof Rawa di Dewan Rakyat pagi ini.
Februari lalu, Kementerian Pengangkutan mengharamkan perkhidmatan teksi motosikal ‘Dego Ride’ atas faktor keselamatan.
Perkhidmatan Dego Ride yang bermula operasi November tahun lalu boleh ditempah menerusi aplikasi WhatsApp, dengan kadar tambang dari RM2.50 untuk 3 kilometer (km) pertama, dan caj 60 sen dikenakan bagi setiap km seterusnya. – MalaysiaGazette