KUALA LUMPUR – Sayap Dewan Pemuda Pas Kedah hari ini mahu Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak sepatutnya mengeluarkan nada amaran kepada guru-guru yang aktif dalam politik terutamanya pembangkang.
Menurut ketuanya, Mohd. Azam Abdul Samad, penyertaan aktif guru-guru dengan parti-parti politik berdaftar perlu dirai dan dihormati selaras hak perlembagaan seseorang individu.
“Menteri Pendidikan tidak perlu mengeluarkan amaran bernada ugutan dan dilihat emosi, serta mengundang tindakan politik yang ‘dihalalkan’ atas nama pentadbiran.
“Sebaliknya, kementerian perlu sentiasa membuat penilaian adil dan mengeluarkan garis jelas kepada para guru berhubung kebenaran yang pernah dikeluarkan dari pindaan Peraturan 21 (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Limau dalam satu kenyataan.
Semalam, Mahdzir menyeluarkan kenyataan bahawa tiada tindakan akan diambil kepada guru-guru yang aktif berpolitik selagi mereka tidak menaiki pentas pembangkang dan mengutuk kerajaan.
Katanya, kementerian tidak akan menghalang mana-mana guru untuk aktif berpolitik namun tidak akan berkompromi terhadap mereka menggunakan platform pembangkang untuk menghentam kerajaan.
“Guru-guru lain tidak ada masalah. Mereka boleh aktif berpolitik tapi bila sudah sampai naik pentas pegang mikrofon dan kutuk kerajaan secara keras dan melampau. Malah buat kaji selidik tidak boleh begitu..jangan tunjuk diri atas pentas pembangkang. Itu sahaja.
“Kalau mereka kritik kerajaan untuk kebaikan tidak ada masalah. Cerita pasal kerusi di sekolah tidak mencukupi takkan nak marah guru berkenaan,” katanya semalam.
Mengulas mengenainya lagi, Mohd. Azam berkata, tindakan kementerian itu dilihat sebagai langkah terdesak menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Setakat ini, lima guru diberi surat tunjuk sebab kerana didakwa menggunakan pentas pembangkang untuk menghentam kerajaan.
Kesemua mereka diberikan tempoh dua minggu untuk menjawab surat berkenaan dan sekiranya gagal berbuat demikian, maka mereka boleh dilucutkan jawatan kerana melanggar peraturan dalam perkhidmatan awam. -MalaysiaGazette.