BUENOS AIRES – Lionel Messi pada Selasa digantung empat perlawanan antarabangsa bersama Argentina oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) atas kesalahan menghina penolong pengadil.
Bintang Barcelona itu didakwa melakukan kesalahan itu semasa Argentina menang 1-0 ke atas Chile dalam pusingan kelayakan Piala Dunia Russia 2018 minggu lalu.
FIFA telah mengumumkan keputusan itu selepas menjalankan siasatan dalaman ke atas bintang Barcelona itu.
Messi juga dikenakan denda 10,000 francs (USD10,160) oleh Panel Disiplin FIFA.
Dengan hukuman itu, Messi akan terlepas empat aksi bersama Argentina dalam lima lagi perlawanan Kelayakan Piala Dunia.
Messi juga dilarang beraksi perlawanan menentang Bolivia pada malam Selasa.
Bagaimanapun Messi hanya akan kembali beraksi dalam perlawanan kelayakan terakhir menentang Ecuador pada 10 Oktober ini.
Persekutuan Bola Sepak Argentina dalam kenyataan terbaharu berkata badan itu akan merayu terhadap keputusan FIFA ke atas Messi.
FIFA dalam kenyataannya berkata, Messi didapati bersalah mengeluarkan perkataan tidak senonoh ke atas penolong pengadil Emerson Carvalho.
“Keputusan ini adalah selaras dengan tindakan Jawatankuasa Disiplin FIFA yang pernah diambil dalam kes lain,” kata FIFA.
Badan itu memulakan siasatan selepas insiden itu dilaporkan oleh pengadil Brazil Sandro Ricci selepas Argentina menewaskan Chile 1-0 di Buenos Aires pada Khamis lalu.
Gol tunggal itu dijaringkan Messi menerusi sepakan penalti di babak pertama.
Bukti rakaman televisyen menunjukkan Messi bertindak marah pada penghujung perlawanan apabila Emerson Carvalho melayangkan bendera kerana menerjah pemain lawan.
Ia menyebabkan Messi mengangkat tangan sambil menjerit ke arah Emerson dan pemain itu mengelak berjebat tangan dengan Emerson.
Akhbar Brazil melaporkan memetik kenyataan Ketua Pengadil, Ricci sebagai berkata, dia tidak menyedari tindakan Messi menghina pegawainya.
“Saya tidak mendengar sebarang perkataan kesat dari Messi atau mana-mana pemain lain ke atas saya melainkan pemain lain mengangkat tangan semasa perlawanan seperti biasa,” katanya.- MalaysiaGazette.