Home Utama Pengendali Valet Doa sudah diarah hentikan aktiviti – Jamil Khir

Pengendali Valet Doa sudah diarah hentikan aktiviti – Jamil Khir

KUALA LUMPUR – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Jabatan Mufti Selangor sudah mengarahkan pengendali khidmat Valet Doa supaya memberhentikan aktivitinya kerana ia memberikan kesan negatif kepada agama Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata individu yang mengendalikan khidmat tersebut, Hasrin Harin sudah dipanggil pihak berkuasa agama negeri dan dinasihatkan supaya tidak meneruskan khidmat Valet Doa jika tidak mahu diambil tindakan tegas kerana mengingkari arahan tersebut.

“Berdasarkan tempat tinggal individu yang berikan perkhidmatan Valet Doa ini di Selangor maka JAIS dan Jabatan Mufti Selangor telah memanggil individu tersebut dan menasihatinya supaya memberhentikan perkhidmatan Valet Doa ini kerana ia boleh menimbulkan impak yang negatif kepada kesucian agama Islam dan boleh mengundang salah faham serta merosakkan akidah,” kata Jamil Khir semasa menjawab soalan di Dewan Rakyat pagi ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Normala Abdul Samad mengajukan soalan berhubung isu Valet Doa sama ada tindakan sudah diambil ke atas pengendali khidmat tersebut.

Selain itu, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) juga memantau akaun Facebook Valet Doa dari masa ke semasa.

“Jakim juga menyokong apa jua tindakan diambil tindakan SKMM dalam membasmi aktiviti yang boleh menjejaskan kesucian agama Islam,” katanya.

Selain itu, menurut Jamil Khir, mufti negeri juga mengambil inisiatif dengan memberikan nasihat berkaitan larangan mempromosikan perkhidmatan valet doa, antaranya di Selangor, Sabah, Wilayah Persekutuan dan Pahang.

Jamil Khir menjelaskan, tindakan Hasrin yang menetap dan mengenakan bayaran adalah bertentangan dengan syariat agama Islam.

“Pihak penganjur harus memahami bukan salah orang lain tolong berdoa untuk kita, yang salah dia telah tetapkan harga dan bayaran,” katanya.

Valet Doa yang mengenakan caj antara RM250 sehingga RM5,000 kepada orang ramai menjadi tular di media sosial dan bayaran dianggap tinggi melalui pakej tertentu seperti VVIP serta pakej King Salman. – MalaysiaGazette