KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berjanji akan memaklumkan sebarang perkembangan terkini berhubung kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong Nam.
Menurutnya, pada masa ini kerajaan menumpukan tentang keselamatan rakyat Malaysia yang berada di Pyong Yang.
“Saya sudah beritahu bahawa dalam kes ini kita akan buat kenyataan bila sampai pada masanya.
“Jadi saya harap anda bersabar kerana ini merupakan rundingan dengan kerajaan dan perkara ini amat sensitif dan kita pentingkan keberhasilannya,” katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkembangan terkini berhubung kematian lelaki Korea Utara itu yang ditemui mati di klia2 pada 13 Februari lalu.
Najib berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional di Menara Dato’ Onn di sini malam ini.
Mengulas lanjut Najib berkata, kerajaan turut menjaga imej Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat dan menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.
Jong-nam, anak sulung bekas pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Il didakwa dibunuh oleh dua orang wanita di bawah arahan ejen Korea Utara.
Dia secara terbuka mengkritik penguasaan dinasti keluarganya di negara itu. – MalaysiaGazette.