ATHES, Ohio – Dua individu ditahan selepas sebuah pesawat kecil yang berpangkalan di Kanada melakukan pendaratan cemas di lapangan terbang Universiti Ohio (UO) berikutan penemuan kokain ‘dalam kuantiti yang besar’ dalam pesawat itu.
Memandangkan pesawat kecil itu datang dari luar negara dan tidak mendapat kebenaran yang sah, polis OU berkata, Jabatan Keselamatan Dalam Negara menghubungi polis universiti itu kira-kira pukul 2.30 petang memaklumkan pesawat tersebut akan mendarat di lapangan terbang universiti itu, lapor Columbus Dispatch.
Kastam dan Perlindungan Sempadan meminta polis universiti itu menahan mereka yang berada dalam pesawat sehingga pihak berkuasa persekutuan tiba kerana lapangan terbang UO bukan pintu masuk AS. Jabatan Syerif daerah Athens membantu polis UO mengepung pesawat tersebut sebaik sahaja ia mendarat.
“Juruterbang memberitahu dia terbang merentasi ruang udara AS apabila pesawat menghadapi masalah teknikal yang memaksa dia mendarat,” kata anggota polis OU, Leftenan Tim Ryan dalam satu kenyataan.
Pesawat Jabatan Keselamatan Dalam Negeri yang dilengkapi radar khas dan peralatan komunikasi mendarat di lapangan terbang OU serta polis universiti itu membantu anggota jabatan tersebut dan kastam menyiasat perkara berkenaan.
Siasatan yang dilakukan menyaksikan penemuan kokain dalam ‘kuantiti yang besar’ yang disorok dalam pesawat itu, menurut kenyataan UO.
Jabatan Keselamatan Dalam Negara menahan dua individu yang berada dalam pesawat dan menghantar mereka ke Columbus, lapor universiti itu.
Rekod penerbangan menunjukkan pesawat tersebut telah merentasi ruang udara Amerika Syarikat baru-baru ini dengan melakukan penerbangan antara Kanada dan Bahamas. – Agensi