KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong menegaskan bahawa DAP yang wajar dipersalahkan dalam langkah Pas membawa usul persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355.
Ka Siong menyifatkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam membuktikan Barisan Nasional (BN) mementingkan semangat kebersamaan dengan mengambilkira semua pandangan parti komponen.
“Bagi MCA, ia adalah satu keputusan konsensus yang baik. Ini adalah semangat BN selepas mengambil pertimbangan pandangan semua parti.
“Jadi sekarang BN perlu fokus kepada persediaan pilihanraya umum ke-14 (PRU14),” kata Ka Siong semasa ditemui di Parlimen hari ini.
Ka Siong berkata, DAP tidak wajar lari daripada tanggungjawab dan perlu menjawab kepada pengundi memandangkan mereka yang bekerjasama dengan Pas dalam dua pilihanraya sebelum ini pada 2008 dan 2013.
“Mereka (DAP) yang bekerjasama dengan Pas dalam dua pilihan raya umum sebelum ini.
“Hubungan mereka kemudiaan bertukar suam dan mereka perlu mencari kambing hitam dan dengan mudah menjadikan MCA dan Gerakan sebagai kambing hitam,” katanya.
Menurut Ka Siong, tindakan DAP cuba lari daripada tanggungjawab adalah kerana mereka cuba menutup malu yang dilakukan mereka pada masa lampau.
“Mereka harap orang ramai akan lupakan, malah mereka juga meminta pemimpin MCA dan Gerakan supaya letak jawatan.
“Mereka tidak konsisten, semua perkara yang mereka katakan hanya cuba menutup malu mereka,” katanya.
Semalam, dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN, parti itu memutuskan tidak ada wakil kerajaan akan membentangkan Pindaan Akta 355.
Najib berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi parti tersebut. – MalaysiaGazette