Home Utama Jambatan ketiga PP lewat: Jangan salahkan kami- Fadillah

Jambatan ketiga PP lewat: Jangan salahkan kami- Fadillah

KUALA LUMPUR – Kelewatan projek jambatan yang menghubungkan tanah besar dengan Pulau Pinang bukan salah kerajaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Fadilllah Yusof berkata, kementeriannya masih belum menerima sebarang dokumen daripada kerajaan negeri Pulau Pinang berhubung projek jambatan ketiga itu.

Jelasnya, kementerian ingin membantu kerajaan negeri untuk menjayakan projek berkenaan walaupun perbincangan mengenainya telah ditangguhkan sejak Julai tahun lalu disebabkan kegagalan kerajaan negeri menyerahkan beberapa dokumen penting.

“Hari ini adalah hari terakhir suku pertama 2017 dan pihak kementerian ingin memberi makluman terkini kepada orang ramai bahawa kami belum menerima kertas kajian daripada mereka.

“Dengan itu, sebarang kelewatan bagi projek ini adalah bukan salah dan tanggungan kami.

“Kementerian kami turut ingin melahirkan kebimbangan terhadap kelewatan projek ini dan ingin menawarkan bantuan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang sekiranya mereka memerlukannya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jelas Fadillah, kementerian turut bimbang mengenai kelewatan di dalam kajian kebolehlaksanaan dan kajian perincian rekaan yang mana pihaknya telah meminta sebanyak lima kali sejak Mei tahun lalu.

“Terdapat laporan yang mengatakan kajian telah dilakukan sejak akhir 2013. Pada Januari 2014, syarikat konsesi yang mendapat anugerah projek bernilai RM6.34 bilion itu menngatakan kajian telah siap dan sedia didedahkan kepada umum pada April 2014,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, kementerian turut prihatin dengan kos kajian yang menelan belanja sebanyak RM305 juta yang dianggap keterlaluan meskipun kerajaan Pulau Pinang mengatakan ianya adalah munasabah.

Jelasnya, garis panduan pembinaan projek tersebut adalah luar biasa.
“Kami mempunyai kepakaran untuk melengkapkan kajian tersebut mengikut masa yang ditetapkan pada harga yang lebih rendah.

“Dengan itu, kami sekali lagi bersedia untuk menawarkan bantuan sekiranya kerajaan Pulau Pinang memerlukan bantuan,” katanya lagi.- MalaysiaGazette