Home Nasional Tiada pensyarah dibuang, malah meningkat 6.5% – Idris Jusoh

Tiada pensyarah dibuang, malah meningkat 6.5% – Idris Jusoh

Idris Jusoh

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh menegaskan dakwaan ribuan pensyarah diberhentikan adalah tidak sebenar, sebaliknya jumlah warga pendidik tersebut meningkat pada 2016.

Idris berkata, jumlah pensyarah di Universiti Awam (UA) meningkat sebanyak 31,712 pada 2016, peningkatan 6.5 peratus berbanding tahun 2012.

“Untuk makluman, laporan media mengenai seramai 6,000 orang pensyarah diberhentikan dan tidak disambung kontrak perkhidmatan sejak tahun lalu adalah tidak tepat.

“Berdasarkan rekod KPT, jumlah pensyarah di UA pada 2016 adalah seramai 31,712 iaitu peningkatan sebanyak 6.5 peratus berbanding jumlah pensyarah di UA pada 2012 iaitu seramai 29,769 orang,” kata Idris semasa sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pagi ini.

Idris ditanya Ahli Parlimen Dr Mansor Abdul Rahman berhubung laporan media sebelum ini yang mendakwa laporan ole Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC) yang mengatakan terdapat 6,000 pensyarah, termasuk profesor diberhentikan dan tidak disambung kontrak mereka.

Dalam pada itu, Idris menjelaskan, pihak kementerian sudah melaksanakan beberapa penambahbaikan ke atas Skim Perkhidmatan Pensyarah Universiti (SPPU).

Penambahbaikan tersebut meliputi aspek kenaikan pangkat, pelantikan ke Gred 51, pemberian autonomi kepada universiti dan membenarkan pensyarah menjana pendapatan sendiri. – MalaysiaGazette