
KUALA LUMPUR – Dua suspek rakyat Korea Utara yang dipercayai terlibat dalam pembunuhan Kim Jong-nam telah meninggalkan negara.
Mereka ialah Hyon Kwang Song, 44, Setiausaha Kedua Kedutaan Korea Utara dan Kim Uk-Il, 37, kakitangan Air Koryo.
Kedua-dua mereka dibebaskan sebagai sebahagian daripada rundingan pembebasan sembilan rakyat Malaysia yang dihalang meninggalkan Pyongyang.
Dua suspek itu dikatakan bersembunyi di dalam kedutaan itu lebih daripada sebulan.
“Kedua-duanya telah meninggalkan negara ini,” menurut sumber yang rapat dengan rundingan itu.
Namun, sumber tidak memberi perincian bila kedua-dua meninggalkan Malaysia.
“Tetapi sumber memaklumkan mereka dibenarkan keluar Malaysia sebagai pertukaran dengan sembilan warga Malaysia,” lapor Channel News Asia.
Kelibat kedua-dua lelaki itu dirakam dalam kamera litar tertutup ketika menghantar empat lelaki yang dipercayai perancang pembunuhan Jong-nam di klia2.
“Jabatan Siasatan Jenayah telah mendapatkan kenyataan daripada mereka sebelum kedua-duanya meninggalkan kedutaan,” katanya.
Jong-nam dibunuh dengan agen saraf VX pada 13 Februari lalu di klia2 selepas dua wanita menyerkup mukanya. – MalaysiaGazette