SEPANG – Di sebalik saat-saat terindah buat sembilan rakyat Malaysia yang selamat pulang ke Malaysia hari ini, lensa MalaysiaGazette sempat merakamkan aksi Annur Zulaikha, 6, anak sulung kaunselor Malaysia Mohd Nor Azrin Md Zain dan pasangannya Iza Karmila Ramli.
Ketika Nor Azrin membuat ucapan selepas hampir sebulan berdepan nasib tidak pasti di Korea Utara, Annur yang berbaju panas kelabu teruja melihat ratusan wartawan di sekelilingnya.
Dia dan adiknya, Aynor Zhafirah, 5, dan Ayscha Zinnirah, 3 tahun tersenyum lebar dan tidak boleh duduk diam sejenak menjejakkan kaki ke landasan kapal terbang tepat jam 5:05 pagi tadi.
“Anda gembira selepas dapat pulang ke Malaysia? Ya, (amat gembira),” jawab Annur ketika ditanya media.
Annur antara sembilan individu yang selamat tiba di perkarangan Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala (KLIA) awal hari ini.
Kesemua mereka disambut Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman sebelum ditemukan dengan sanak saudara yang dibawa oleh pihak kementerian.
Bersama keluarga Annur adalah Pembantu Peribadi Duta Besar, Noor Saaidah Jamaluddin, 29; suaminya Mohd Radzuan Othman, 29, serta bayi mereka Mohamad Radhiy berusia lapan bulan; S. Nirmala Malar Kodi, 45. -MalaysiaGazette.