Home Nasional Padah buang sampah, sila tanggung kos bersih sungai

Padah buang sampah, sila tanggung kos bersih sungai

Sebahagian sukarelawan mengutip sampah yang mencemarkan Sungai Tebrau pada Program Community In River Sungai Tebrau di sepanjang Sungai Tebrau di Jeti Kampung Bakar Batu. Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Awas! Kepada mereka yang suka membuang sampah dan sisa buangan ke dalam sungai, kos membersih dan merawat bakal ditanggung pihak terlibat.

Kos yang bakal dikenakan ke atas antaranya pihak industri, kilang, kedai, dan kediaman yang didapati bersalah berbuat demikian, mengikut hasil siasatan yang dijalankan.

Pelaksanaan tersebut dijangka dilaksanakan di bawah Perbadanan Alam Sekitar Negeri Johor yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, menerusi pelaksanaan itu kelak, tindakan boleh dikenakan kepada pihak terlibat mencemari sungai.

“Kos pembersihan dan rawatan sungai-sungai tercemar di negeri ini akan dikenakan terhadap kawasan industri, kilang, kedai dan kediaman yang dikenal pasti membuang sampah-sarap serta sisa buangan ke dalam sungai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Program Community In River (Coir) Sungai Tebrau di Jeti Kampung Bakar Batu, di sini.

Sebahagian sukarelawan mengutip sampah yang mencemarkan Sungai Tebrau pada Program Community In River Sungai Tebrau di sepanjang Sungai Tebrau di Jeti Kampung Bakar Batu di sini semalam.
Sebahagian sukarelawan mengutip sampah yang mencemarkan Sungai Tebrau pada Program Community In River Sungai Tebrau di sepanjang Sungai Tebrau di Jeti Kampung Bakar Batu di sini semalam.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 14 Mac lalu, membuat tinjauan ke Sungai Tebrau dan hasil tinjauan dilakukan, baginda melahirkan rasa kesal dengan pembuangan sampah dan pencemaran yang berlaku di situ.

Baginda kemudian menitahkan kerajaan negeri untuk mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang membuang sampah dan mencemarkan sungai bagi mengelak berlakunya banjir.

Dalam pada itu, Ayub berkata, lebih RM100 juta diperlukan untuk memulih dan merawat Sungai Tebrau yang kini tercemar akibat sampah-sarap dan sisa buangan.

Proses tersebut, katanya, akan mengambil masa bertahun serta dijalankan secara berperingkat-peringkat. – MalaysiaGazette.