Home Politik Lantik pengerusi berketurunan Melayu hanya muslihat – Ismail Sabri

Lantik pengerusi berketurunan Melayu hanya muslihat – Ismail Sabri

Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Jika benar pakatan pembangkang mahu melantik pengerusi, maka jawatan itu selayaknya diberikan kepada DAP kerana parti itu memiliki kerusi terbanyak dalam gabungan berkenaan, kata  Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob

Justeru, hasrat pakatan pembangkang mahu melantik pengerusi gabungan berkenaan daripada pemimpin berketurunan Melayu hanya muslihat untuk mengaburi mata pengundi di Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.

“Jikalau Lim Kit Siang melantik seorang Melayu menyandang jawatan Pengerusi Pakatan Harapan maka ternyata ini adalah satu muslihat untuk perdaya pengundi-pengundi Melayu.

“Kit Siang perlu menyandang jawatan pengerusi sebab DAP adalah anggota parti yang paling terbesar di dalam Pakatan Harapan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Untuk rekod, DAP kini menguasai 38 kerusi parlimen serta 96 kerusi DUN pada PRU13 lalu.

Jawatan pengerusi pakatan pembangkang menimbulkan persoalan apabila dilihat menjadi ‘idaman’ penasihat DAP itu.

Ini berikutan, Pengerusi PPBM, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Ketua pembangkang, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail diberi penghormatan sebagai penasihat bersama protem pakatan untuk tujuan pendaftaran gabungan itu.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Kit Siang tidak boleh memperlekeh dan memperdaya minda orang Melayu terhadap hakikat sebenar bahawa pakatan pembangkang sebenarnya dikuasai dan dimiliki oleh DAP.

“Kita semua tahu bahawa DAP adalah sebuah parti yang didominasi oleh kaum Cina dan  Kit Siang tidak pernah memberi ruang kepada kaum Melayu,” katanya lagi.

Malah beliau turut menyeru masyarakat supaya sedar bahawa DAP hanya mahukan undi orang-orang Melayu sebagai batu loncatan untuk menguasai Putrajaya.

“Selepas itu, Kit Siang akan menggunakan kuasa Putrajaya untuk memerintah sehingga ke anak cucu. Seorang diktator tetap akan jadi seorang diktator. -MalaysiaGazette.