Home Nasional KKKL mesra alam sekitar, pesakit

KKKL mesra alam sekitar, pesakit

Dua orang jururawat melihat rakan mereka memasukkan maklumat pesakit dengan menggunakan sistem 'Teleprimary Care' di Klinik Kesihatan Kuala Lumpur. foto MOHD HAZROL ZAINAL, 3 APRIL 2017.

KUALA LUMPUR – Klinik kerajaan terbesar negara, Klinik Kesihatan Kuala Lumpur (KKKL) serba canggih yang menawarkan rawatan pesakit luar mendapat reaksi positif orang ramai.

Selain daripada mesra alam sekitar, Klinik berstatus ‘Super Type 1 Clinic’ yang menggantikan Jabatan Pesakit Luar Hospital Kuala Lumpur yang bebas daripada penggunaan kertas itu juga dilihat mesra pesakit.

Tinjauan MalaysiaGazette mendapati keluasan bangunan yang agak besar itu dilengkapi tempat menunggu yang selesa dan besar selain tempat letak kereta yang mencukupi.

“Cantik bangunan baharu ini yang luas, selesa dengan tempat duduk yang banyak selain tempat letak kereta.

“Kalau di bangunan lama Jabatan Pesakit Luar Hospital Kuala Lumpur nak cari parkir susah sangat sehingga pusing beberapa kali sampai berjam lama sehingga tidak dapat menemani mereka.

“Selepas ini orang ramai berurusan dengan  klinik ini tidak akan panik kerana tempat letak kereta telahpun disediakan untuk semua, tiada masalah kesesakan selepas ini,” kata kakitangan awam, Razee Rosli, 36, kepada MalaysiaGazette di sini.

Razee Rosli
Razee Rosli

Menurut Razee yang menyambut baik pelaksanaan sistem pendaftaran pesakit secara berkomputer bebas kertas, ‘Teleprimary Care’, di klinik itu berkata kemudahan itu akan memudahkan pesakit kerana mereka tidak lagi  perlu mengisi borang.

“Bagaimanapun, saya lihat pagi ini ramai beratur panjang sebab lambat walaupun terdapat sekitar 12 kaunter urusan.

“Saya faham keberkesanan sistem berkomputer itu pada permulaan agak susah sehingga memaksa orang tunggu tadi, itu tidak dapat dielakkan di mana-mana juga tapi tidak bermakna sudah gagal. Saya percaya ia akan menunjukkan keberkesanannya selepas ini dengan lebih baik,” katanya.

Selain itu, kebanyakan pesakit di KKKL memuji inisiatif kerajaan yang menyediakan 26 bilik konsultansi.

Kerani Kementerian Pertahanan (Mindef), Nur Illy Ruzanna, 32, berkata, sistem ‘Teleprimary Care’ lebih efisyen dan memudahkan pesakit berurusan.

Katanya, sistem baharu yang diperkenalkan itu sangat menarik selain dapat menjimatkan masa pesakit yang perlu mengisi borang sebelum ini.

Nur Illy Ruzanna
Nur Illy Ruzanna

“Selepas mengambil nombor giliran, terus dipanggil ke kaunter dan pegawai bertugas mengambil segala butiran peribadi dan masalah penyakit secara terperinci.

“Ia seterusnya direkodkan pula dalam bentuk penyimpanan data dalam komputer. Wah! sangat menarik. Senang untuk pesakit seperti saya tidak perlu susah susah cari pegawai doktor jika melawat ke klinik lain.

“Tekan sahaja butang komputer, rekod kesihatan kita yang tepat sudah ada dalam data klinik seluruh negara, dan tidak ada alasan untuk mereka kononnya fail maklumat pesakit hilang dan sebagainya selepas ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, juruteknik Shahrul Aidil Mohd Radzi, 31, berkata, keseluruhan kemudahan yang disediakan di bangunan baharu klinik kesihatan itu sangat menarik dan memberi keadaan yang menyenangkan kepada pesakit.

“Tidak kira kanak-kanak, dewasa atau warga emas, bangunan baharu klinik ini sangat menarik dan mesra, kemudahan tidak sesak seperti bangunan lama di Hospital Kuala Lumpur.

Shahrul Aidil Mohd Radzi
Shahrul Aidil Mohd Radzi

“Malah saya dapat lihat kaum ibu dan anak juga disediakan khidmat khas di tingkat satu yang memudahkan lagi kaum ibu yang sakit atau mengandung.

“Malah kemudahan lain di klinik ini juga sangat bagus, bayangkan lebih 26 bilik konsultansi serta 56 orang pegawai perubatan bertugas di sini, lagilah kami gembira sebab tak perlu tunggu lama jumpa doktor dan terima ubat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette